Skip to main content

Sejarah Pulau Pinang

Nama Asal Pulau Pinang

Pulau Pinang pada awalnya dikenali sebagai Pulau Ka Satu. Seorang pelayar yang bernama Ragam menamakan sedemikian kerana inilah satu-satunya pulau besar yang terasing yang ditemui beliau sewaktu berulang-alik berdagang dari Lingga ke Kedah. Nama Pulau Ka Satu terus digunakan sehinggalah kedatangan British pada tahun 1786. Apabila pokok pinang mula ditanam di pulau ini selepas kedatangan British, nama pulau ini ditukar kepada Pulau Pinang.
Sebelum nama Pulau Pinang menjadi popular, penduduk di Seberang Perai lebih mengenali Pulau Pinang dengan nama Tanjong Penaga sempena nama pokok penaga yang tumbuh di sekitar tapak Fort Cornwallis. Dipecayai nama ini atau singkatannya Tanjong masih digunakan dalam geran-geran tanah yang dikeluarkan oleh kerajaan sehingga tahun 1800. Malah, sehingga kini nama Tanjong begitu serasi dengan penduduk Pulau Pinang dan Seberang Perai apabila merujuk kepada Bandar Georgetown.
Sejarah Awal Pulau Pinang dan Seberang Perai
Antara pedagang berbangsa Inggeris yang paling awal menemui Pulau Pinang ialah Kapten James Lancaster. Kapal The Edward Bonaventure milik pedagang tersebut adalah di antara tiga kapal yang dihantar oleh Britain dalam misi perdagangan ke Hindia Timur pada tahun 1591. Berdasarkan catatan pelayaran kapten tersebut, beliau menemui Pulau Pinang selepas singgah beberapa bulan di Pulau yang terletak kea rah selatan Pulau Pinang pada bulan Jun 1593. Dalam perjalanan meninggalkan Pulau Rimau itulah beliau menemui Pulau Pinang yang kelihatan tifak berpenghuni.
Bukti arkeologi pula menunjukkan Pulau Pinang dan Seberang Perai telahpun dihuni sejak zaman pra sejarah lagi. Bukti pertama pra sejarah negara ditemui di Guar Kepah, Seberang Perai pada tahun 1860. Berdasarkan timbunan cengkerang kepah dan kerang yang di dalamnya ditemui rangka manusia dengan alat batu, manik, pecahan tembikar dan sisa makanan, dijangkakan tapak di Guar Kepah ini berusia sekurang-kurangnya sekitar 3,000 hingga 4,000 tahun. Manakala penemuan alat batu beliung di beberapa tempat di Pulau Pinang merupakan merupakan bukti Neolitik iaitu bukti dari era pertanian yang awal yang dijangkakan berusia sekurang-kurangnya 5,000 tahun yang lalu.
Dari segi sejarahnya, Pulau Pinang dan Seberang Perai pada asalnya adalah milik kesultanan Kedah. Lama sebelum diambilalih oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris kedua-dua kawasan ini telahpun mempunyai penghuni. Berkenaan petempatan awal, satu daftar ukur tanah dan kawasan yang bertarikh 1795 menyebut kawasan Datok Keramat telahpun dihuni sejak tahun 1705 berdasarkan penemuan kawasan perkampungan orang Melayu dan tanah perkuburan seluas 18 ekar di kawasan tersebut. Penempatan-penempatan juga turut dibuka oleh orang Melayu di Batu Uban, Sungai Kluang dan beberapa kawasan lain. Seberang Perai pula, sewaktu diambilalih oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris pada tahun 1800, masih dipenuhi hutan dengan penduduknya dianggarkan berjumlah antara 2 hingga 3 ribu orang.
Pengambilan Seberang Perai oleh British
Pada tahun 1800, Seberang Perai yang kemudiannya dikenali sebagai “Province Wellesley” Berjaya diperoleh oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris melalui satu perjanjian dengan Sultan Dhiauddin Mukarram Shah II (mm. 1798-1804). Fasal pertama perjanjian itu menyebut:
Kampeni Inggeris mahu bayar pada tiap-tiap tahun kepada Duli Raja Muda Perlis dan Kedah sapuloh ribu rial sa-lama Inggeris ada pegang dan dudok di-dalam Pulau Pinang dan Negeri yang di-seberang kemudian ada tersebut.
Perjanjian ini dengan sendirinya membatalkan perjanjian terdahulu yang dibuat pada tahun 1791 antara Sultan Abdullah Mukarram Shah dengan Francis Light. Perjanjian Perdamaian dan Persahabatan 1791 itu merupakan satu tekanan yang dikenakan oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris terhadap Sultan Abdullah yang cuba melancarkan serangan untuk merampas semula Pulau Pinang.

 Sumber daripada : Lembaga Muzium Pulau Pinang

Comments

Popular posts from this blog

Sejarah Persatuan Guru Melayu Pulau Pinang

Seiring dengan kesedaran kebangsaan yang mula pada awal abad ke-20, maka lahirlah persatuan guru yang pertama di Pulau Pinang. Persatuan ini dikenali sebagai Persakutuan Guru-guru Melayu Pulau Pinang dan Jajahannya (PGMPPJ). Kesatuan ini dibentuk pada tahun 1920 melalui usaha beberapa orang guru antaranya Mohammad bin Hj. Abdul Mutalib, Muhammad Zain bin Haji Ayub dan Che Cik bin Tajuddin. Pada masa terbentuknya PGMPPJ, ahli yang terkumpul seramai 240 orang. Mereka terdiri daripada guru-guru lepasan Maktab Teluk Belanga seramai 30 orang dan Maktab Melaka seramai 110 orang. Manakala selebihnya merupakan guru-guru tidak terlatih. Cikgu Muhammad Zain Haji Ayob Pengasas PGMPPJ Idea pembentukan persatuan ini diilhamkan daripada pertemuan bulanan yang berlaku semasa para guru datang ke Chowrasta, George Town untuk mengambil gaji. Para guru datang dari seluruh Pulau Pinang, Seberang Perai, Din- ding dan Pangkor yang dianggap sebagai salah sebuah Negeri Selat. Pada masa itu mereka b...

Sejarah Penerbitan Panduan Guru PGMPPS

Pada 3 Mac 1922, satu mesyuarat diadakan dengan mengambil keputusan menerbitkan sebuah majalah sebagai wadah perjuangan PGMPPJ. Hal ini berlaku kerana penglibatan aktif dalam kalangan guru menghasilkan penulisan dalam akhbar-akhbar. Mesyuarat tersebut menerima beberapa cadangan nama lain selain  Panduan Guru  antaranya  Asohan Guru, Kemajuan Guru, Pemimpin Guru, Tunas Guru, Lidah Melayu, Kemajuan Bangsa, Benih Perasaan  dan  Suloh Melayu . Mesyuarat kedua pada 30 Jun 1922 menetapkan nama yang dipilih iaitu  Panduan Guru . ( Jubli Emas , 1972: 23) Dalam mesyuarat awal pada 3 Mac 1922, jawatankuasa penerbitan dibentuk yang mana Cikgu Husain bin Abd. Rashid dilantik sebagai penyunting dan Cikgu Md Saman Haji Said sebagai penolong penyunting. Dari setiap cawangan pula dilantik wakil-wakil penulis seperti Md Zain bin Abdullah (Bandar), Md Yusof Zainal (Bayan Lepas), Husain Abdul Rashid (Balik Pulau), Bahaudin Zainal (Penaga), Din Sulaiman (Permatang Pauh), ...

Kenali Tokoh Persatuan Guru Melayu Pulau Pinang

Cikgu Mohamad Nor Ahmad Latar Belakang dan Pendidikan Cikgu Mohamad Nor dilahirkan di Pulau Pinang pada 2 November 1911. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Gopeng bermula pada tahun 1918. Pada tahun 1923, beliau belajar di Sekolah Melayu Chowrasta, Pulau Pinang dan pada tahun 1925, beliau bersekolah di Sekolah Sungai Gelugor hingga tamat darjah empat. Beliau mendapat pendidikan yang lebih tinggi di Sultan Idris Training College (SITC), Tanjung Malim, Perak pada tahun 1929. Pada tahun 1931 Cikgu Mohamad Nor menamatkan pengajian di SITC dengan mendapat kelulusan Pangkat II. Bagi memantapkan lagi diri dengan pengetahuan dan kemahiran, Cikgu Mohamad Nor melanjutkan latihan mengajar Pendidikan Jasmani selama setahun pada tahun 1932. Perkhidmatan Sebagai Kakitangan Awam Perkhidmatan bermula sebaik sahaja beliau menamatkan pengajian di Sekolah Melayu Gelugor. Beliau terpilih untuk mengajar di sekolah tersebut sebagai guru pelatih. Pada tahun 1929, Cikgu Moham...